Mengenai Kami

Foto saya
Adalah sebuah Pusat Rawatan Islam yang bernaung di bawah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa’ yang berpusat di Bandar Baru Bangi, Selangor. Ianya adalah salah sebuah Cawangan Pusat Rawatan yang terdapat di dalam Negeri Selangor yang terletak di atas sebuah tanah persendirian yang diwakafkan oleh Tuan Penasihat Darussyifa’ Banting sendiri iaitu Tuan Haji Saharoni Bin Haji Jamil. Beliau adalah antara anak-anak murid terawal yang diijazahkan pengubatan Islam oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haron Din.

Rabu, 31 Ogos 2011

SALAM AIDILFITRI 1432H

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH..

PIHAK DARUSSYIFA' BANTING INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SEMUA PENGUNJUNG, PERAWAT & PESAKIT YANG HADIR KE PUSAT RAWATAN KAMI..

KAMI JUGA INGIN MEMOHON JUTAAN KEMAAFAN DI ATAS SETIAP KESALAHAN YANG TELAH KAMI LAKUKAN SAMAADA SECARA SENGAJA MAHUPUN TIDAK SEPANJANG MENJALANKAN PERKHIDMATAN KAMI KEPADA PIHAK TUAN PUAN.

SEHUBUNGAN ITU, DIMAKLUMKAN PUSAT RAWATAN AKAN DITUTUP SEPANJANG MINGGU PERTAMA SYAWAL DAN AKAN BEROPERASI SEMULA BERMULA PADA 
06 SEPTEMBER 2011 (SELASA) BERSAMAAN 8 SYAWAL 1432 H.

KULLU 'AM WA ANTUM BIKHAIR, INSYAALLAH

WABILLAHITAUFIQ WAL HIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH...

Jumaat, 19 Ogos 2011

Sajak - Guru Ku


Sajak - Guru Ku

Engkaulah permata di pandangan
Lemah tubuhmu lesu kelihatan
Namun semangatmu utuh meyakinkan
Wajahmu bersinar dalam kesakitan

Guruku

Jika dapat kurasai dan dikongsi
Ku tawar diri sebagai galang ganti
Ketabahanmu terpancar walau sakit tidak terkira
Sempit dadaku menahan sebak lara
Hanya Allah tempat mengadu mencurah rasa
Buat guruku yang cekal hati berjiwa angkasa

Guruku

Jasamu pada kami tiada tandingan
Tiada harga sebagai nilaian
Redhai kami ampunkan kesalahan
Semoga Allah kurnia balasan

Guruku

Dirimu yang ku rasakan
Mengenalimu suatu kelebihan
Mendekatimu suatu keindahan
Mencontohimu suatu kepuasan
Keresahanmu suatu igauan
Ceria tawamu suatu kebahagian
Penderitaanmu suatu keperitan
Kesakitanmu suatu kesedihan
Ketabahanmu suatu perjuangan

Guruku

Engkaulah bapa engkau teman
Ajaran, teguran, marahan ku jadikan pedoman
Begitu agung dan tinggi tanda arasmu
Tidak tergapai jejak langkahmu
Namun ku cuba sedaya mampu

Guruku

Budimu menggunung tidak terkira
Seiring bapaku yang memelihara
Engkaulah harta anugerah yang esa
Tidak terbayang jika engkau tiada

Guruku

Terima dan redhakanlah akan hamba
Walau tercalit cacat dan cela
Walau pernah terguris rasa
Walau pernah memendam nestapa

Guruku

Janji setia telah ku lafazkan
Pesananmu padu ku genggam
Ajaranmu ku jadikan warisan
Nama mu akan ku pertahankan

Guruku

Di hari lahirmu aku menyembam
Kepada tuhan sekelian alam
Agar dirimu diberi peliharaan
Buat menyambung tugasan ehsan
Mendidik kami diserata alam

Nukilan rasa
Abu Nasih
Darussyifa' Klinik DS Rawang
No Ahli 0648
18 Ramadhan 1432 / 18 Ogos 2011

Khamis, 11 Ogos 2011

Daun Bidara & Khasiatnya


Salah satu ikhtiar yang diusahakan di Darussyifa’ ialah rawatan menggunakan daun bidara. Ia secara khusus digunakan dalam merawat penyakit-penyakit bersihat rohani seperti gangguan emosi, susah tidur, gangguan makhluk halus dan sihir. Kaedah ini sebenarnya bersumberkan amalan para ulama terdahulu yang menjadikan daun bidara sebagai bahan rawatan utama dalam mengatasi orang yang terkena sihir.

Antara dalilnya ialah sebagaimana yang dsebutkan oleh Abul Hasan Ali ibn Khalaf yang dikenali Ibn Battal al-Maliki yang mensyarahkan sahih Bukhari ketika menghuraikan hadith berkenaan sihir :

“(Hendaklah dia mengambil tujuh helai daun bidara yang segar hijau lalu menumbuknya di antara du abatu (iaitu menggunakan lesung) kemudian digaul dengan air lalu dibacakan ayatul kursi, tiga qul (ada yang mengatakan empat qul termasuk surah al-Kafirun) kemudian dihirup tiga kali dan hendaklah dia mandi dengan air tersebut. Sesungguhnya ia akan menghilangkan apa sahaja yang dihidapinya dengan izin Allah, ia baik bagi lelaki yang tertahan daripada mendatangi isterinya (tidak boleh berjimak disebabkan sihir)”

Dalam contoh lain, Nabi SAW juga menjelaskan bahawa ketika memandikan mayat selain dimandikan dengan air bersih, salah satu mandian mayat tersebut perlu menggunakan campuran air dengan daun bidara. Ini menunjukkan terdapat khasiat khusus pada daun bidara sehingga digunakan ketika memandikan mayat.

Kaedah rawatan :

Ambil sekurang-kurangnya 21 helai daun bidara untuk kegunaan tiga hari iaitu setiap hari menggunakan 7 helai. Ambil tujuh helai daun bidara ini kemudian tumbuk dengan lesung batu sehingga separuh hancur. Campurkan daun yang separuh hancur itu dengan air yang telah didoaka. Minum sedikit air ini kemudian dibuat bilasan mandi di waktu petang. Lakukan kaedah ini selama tiga hari berturut-turut.

Rujukan : Rawatan Penyakit Jasmani (I), Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din

Jumaat, 5 Ogos 2011

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Mengalami Serangan Sakit Jantung

Dukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din mengalami serangan sakit jantung sejak hari Sabtu, 30-Julai-2011. Beliau sekarang sedang mendapat rawatan di Institute Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Justeru itu, bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak ini, bulan dimana doa sangat mustajab, marilah kita sama-sama lakukan solat hajat dan berdoa mudah-mudahan Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Tuan Guru Dato Dr. Haron Din.

Doa Untuk Tuan Guru

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam, puji-pujian ke atas anugerah nikmat-nikmat-Nya dan Dialah yang menolak segala bala bencana dan kami bermohon dengan anugerah kelebihan-Nya. Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala kepujian sebagaimana yang selayaknya dengan kebesaran zat-Mu dan kemuliaan serta keagungan kekuasaan-Mu.

Wahai Allah! Rahmatilah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda kesemuanya.

Ya Allah, anugerahkanlah ke atas Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, penawar daripada penawar-Mu, kesembuhan daripada kesembuhan-Mu dan keberkatan daripada keberkatan-Mu, juga rahmat daripada rahmat-Mu terhadap penyakit-penyakit yang dialami olehnya, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia dengan rahmat-Mu, Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.

Kami bermohon kepada Allah yang maha agung , Tuhan yang memiliki Arasy yang agung agar Allah menyembuhkan Tuan Guru kami.

Ya Allah sesungguhnya Engkau mengetahui yang zahir dan yang rahsia daripada kami maka ampunilah kami, dan Engkau mengetahui hajat-hajat kami maka tunaikanlah hajat-hajat kami , ya Karim Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.Amin.
Berikut adalah maklumat terkini yang diterima daripada anak sulung dan menantu Tuan Guru (Dr. Huda & Dr. Azlin).



Jumaat, 5-Ogos-2011

Ini adalah mesej daripada Tuan Guru
Assalamualaikum,

Saya sudah keluar dari IJN dan pulang ke rumah. Selama ditahan di CCU IJN, saya telah melalui tiga prosedur rawatan; 1) angiogram, 2) ultrasound angiogram, 3) MRI. Laporan pemeriksaan masih bawah penelitian doktor. Saya dibenarkan pulang untuk berehat dan akan melalui temujanji susulan dengan doktor di IJN. Doktor telah menasihatkan saya supaya berehat, dan saya akan bercuti beberapa hari. Pulang dari IJN dan berehat di rumah, saya sempat melayari laman web dan facebook Darussyifa’. Saya juga membaca email-email dalam google group ahli Darussyifa’. Membaca komen yang jumlahnya mencecah ratusan, saya sangat teruja dan terharu dengan ingatan, doa, dan kata-kata perangsang daripada tuan-tuan/puan-puan. Saya ucapkan jutaan terima kasih dan Allah sajalah yang layak membalasnya.

Haron Din. 4 Ogos 2011



Khamis, 4-Ogos-2011

Syukur Alhamdulillah, pada hari ini keadaan Tuan Guru telah beransur pulih. Tuan Guru telah discaj dari IJN pada pagi ini jam 11:30 pagi. Beliau akan berehat beberapa hari.


Rabu, 3-Ogos-2011

Dalam sebulan dua ini kami perasan Tuan Guru kerap menggunakan kembali GTN spray selepas aktiviti yang agak membebankan cuma beliau tidak pernah merungut malah tidak pernah mengadu pada kami ataupun kepada sesiapapun, cuma dalam 2-3 minggu terakhir ini kadangkala terpaksa berhenti sejenak jika jadual yang diaturkan terlalu padat dan mendesak.
Selepas rawatan jantung di Stanford Hospital, genap setahun yang lalu, Tuan Guru tidak memerlukan GTN spray walaupun ketika mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu setiap aktiviti yang telah dirancang diselesaikan dengan penuh tanggungjawab.

Hujung minggu setiap bulan, Tuan Guru terikat dengan kuliah serta kelas-kelas pengubatan di tiga negeri dengan jarak untuk rehat antara program yang sempit, maka ketika kelas pengubatan di Alor Setar (30 Julai 2011) Tuan Guru mula mendapat serangan-serangan yang agak kuat dan pada malamnya serangan jantung yang kuat, tidak dapat diredakan dengan GTN spray, sehinggakan habis sebotol. Dada seperti dihimpit batu, sesak nafas serta bahu kiri hingga hujung tangan kebas sepenuhnya.

Kami yang telah pulang lebih awal dari Perlis ke Bangi melalui jalan darat mendapat berita dari Perlis. Kami berusaha mengaturkan agar Tuan Guru dapat pulang dengan segera untuk rawatan di IJN, malangnya tiket penerbangan telah habis ditempah pada pagi Ahad (31-Julai-2011). Pertolongan Allah datang melalui seorang hamba Allah yang sudi memberikan tempat duduk penerbangan yang telah ditempahnya kepada Tuan Guru.

Tuan Guru dikejarkan ke Unit Kecemasan IJN. Melalui pemeriksaan dan ECG, Tuan Guru didapati mengalami serangan 'unstable angina' dan perlu dipantau berkala di CCU berserta rawatan. Sehingga ini dua kali ujian angiogram telah dijalankan (Isnin dan Selasa) dan diikuti juga ujian MRI,  tetapi keputusan masih belum muktamad.

Berkat doa semua, Alhamdulillah Tuan Guru semakin pulih.

Keadaan semakin baik dengan parameter yang semakin stabil, seperti laporan Adinda Salwa, Tuan Guru sudah mula berjalan selepas tempoh edah Angiogram. Mula berselera untuk makan. Kini telah dipindahkan ke wad biasa.

Kami masih menuggu keputusan muktamad Dato'Amin dan Dato' Rob untuk perancangan seterusnya setelah keputusan MRI dibahaskan.

Jutaan Terima Kasih pada yang sudi menitipkan doa, hanya Allah yang layak membalasnya.

Dr. Huda & Dr. Azlin