Mengenai Kami

Foto saya
Adalah sebuah Pusat Rawatan Islam yang bernaung di bawah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa’ yang berpusat di Bandar Baru Bangi, Selangor. Ianya adalah salah sebuah Cawangan Pusat Rawatan yang terdapat di dalam Negeri Selangor yang terletak di atas sebuah tanah persendirian yang diwakafkan oleh Tuan Penasihat Darussyifa’ Banting sendiri iaitu Tuan Haji Saharoni Bin Haji Jamil. Beliau adalah antara anak-anak murid terawal yang diijazahkan pengubatan Islam oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haron Din.

Isnin, 4 Julai 2011

Betulkah atau tidak seorang yang mengamalkan sihir, dihalalkan darahnya, boleh dibunuh bila-bila masa setelah sabit ianya ahli sihir?

Soalan
Dato', betulkah atau tidak seorang yang mengamalkan sihir, dihalalkan darahnya, boleh dibunuh bila-bila masa setelah sabit ianya ahli sihir? Paling penting, ingin saya tahu bagaimana hendak membuktikan seorang itu ahli sihir?
RAZALI ABDULLAH
Johor Bharu

Jawapan
Perbuatan sihir adalah termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan. Yang paling atas sekali ialah syirik dengan Allah SWT. Sihir dilarang dalam Islam dengan larangan sekeras-kerasya.
Apabila sihir menjadi suatu kesalahan besar, maka Islam telah meletakkan hukuman yang agak keras selaras dengan kejahatan yang dilakukan.
Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut (mafhumnya) "Seseorang yang didapati dia mengamalkan sihir hendaklah dihukum bunuh."
Ini bukan bermakna bahawa siapa sahaja yang dikenali sebagai ahli sihir ataupun diketahui dia mengamalkan sihir atau dia mengaku sebagai ahli sihir, terus dihalalkan darahnya atau dibenarkan mana-mana orang membunuhnya. Ia bukan begitu.
Ahli sihir perlu ada tangkapan, perbicaraan, pensabitan dan hingga kepada peringkat kepada tidak ada keraguan memang dia melakukan amalan, maka barulah dia diminta berhenti dan bertaubat nasuha.
Jika dia enggan, maka ia dihukum bunuh oleh mahkamah yang berautoriti. Ada pandangan kedua di kalangan ulama yang mengatakan, jika sabit seorang itu ahli sihir, maka dia terus dibunuh sama ada bertaubat atau tidak.
Apa pun pandangan ulama, orang yang mengamalkan sihir tetap melakukan kesalahan yang amat besar dan melibatkan rosak akidah, menyebabkan orang yang disihir mengalami malapetakan dan kesensaraan yang berpanjangan.
Oleh kerana itu, ahli sihir dihalalkan darahnya, boleh dibunuh, bukan pada bila-bila masa, tetapi setelah memenuhi segala kehendak penghakiman yang wajar dilakukan.
Untuk membuktikan seseorang itu ahli sihir, saya ingin merujuk kepada suatu peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Hisham bin Abdul Malik, suatu ketika khalifah berinteraksi dengan masyarakat dengam pergi melihat perniagaan di pasar-pasar.
Khalifah Hisham mendapati orang ramai berkumpul di suatu tempat. Berbodong-bodong orang mengerumuni barangan yang hendak dijual kepada masyarakat dengan didahului dengan pertunjukan sihir.
Khalifah sendiri yang melihat ahli sihir yang menunjukkan kebolehannya, dengan memasukkan dirinya (ahli sihir) itu ke dalam keldai dari arah mulut. Lalu hilang ia dari pandangan orang, yang tinggal hanya keldai. Tidak lama selepas itu, ahli sihir itu dapat keluar dari arah belakang keldai dan kembali sebagai orang biasa. Orang ramai terpegun.
Lalu khalifah menangkap orang ini dan dibawa kemuka pengadilan. Didakwa melakukan sihir dengan beberapa orang saksi, maka ahli sihir itu dihukum bunuh.
Peristiwa ini menunjukkan, boleh dibuktikan seseorang itu sebagai ahli sihir, dengan melihat dia melakukan perbuatan ganjil dengan perantaraan ilmu sihir.
Boleh dibuktikan sihir dengan mencari peralatan sihir yang digunakan, sebagai contohnya masyarakat di zaman Nabi Musa a.s, ahli sihir menggunakan tali sehingga terkhayal orang ramai melihatnya jadi seperti ular. Ada juga sihir, iaitu ada orang menggunakan tali sebesar lengan, diarahkan tali naik ke udara dan dia boleh memanjat tali itu sedangkan orang tidak boleh melihat di mana tali itu bergantung.
Ada amalan sihir berlaku, di mana seorang yang boleh menyembelih anaknya sehingga putus kepala, darah bersembur kemudian dapat mencantumkan kepalanya kembali tanpa sebarang kecederaan.
Ada yang menggunakan bahan-bahan rawatan seperti tengkorak kepala yang dipuja, bahan kain kuning, kain putih, kain merah, kain hitam, benang mentah, limau, keris-keris lama, tulang-tulang manusia dan sebagainya adalah merupakan alat-alat sihir.
Jika ini dapat dibuktikan, dipegang dan dilihat itu adalah bukti seseorang itu ahli sihir.
Banyak berlaku pada zaman ini, seseorang mengaku ianya ahli sihir.
Merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya) "Orang yang membuat simpulan benang dan menjampi mentera pada benang itu, maka ia telah melakukan amalan sihir."
Banyak lagi bukti-bukti yang lain menunjukkan kepada amalan seperti itu dapat ketahui dan dibuktikan. Wallahu a'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan