Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam, puji-pujian ke atas anugerah nikmat-nikmat-Nya dan Dialah yang menolak segala bala bencana dan kami bermohon dengan anugerah kelebihan-Nya. Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala kepujian sebagaimana yang selayaknya dengan kebesaran zat-Mu dan kemuliaan serta keagungan kekuasaan-Mu.
Wahai Allah! Rahmatilah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah, anugerahkanlah ke atas Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, penawar daripada penawar-Mu, kesembuhan daripada kesembuhan-Mu dan keberkatan daripada keberkatan-Mu, juga rahmat daripada rahmat-Mu terhadap penyakit-penyakit yang dialami olehnya, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia dengan rahmat-Mu, Ya Allah wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.
Kami bermohon kepada Allah yang maha agung , Tuhan yang memiliki Arasy yang agung agar Allah menyembuhkan Tuan Guru kami.
Berikut adalah maklumat terkini yang diterima daripada anak sulung dan menantu Tuan Guru (Dr. Huda & Dr. Azlin).
Jumaat, 5-Ogos-2011
Ini adalah mesej daripada Tuan Guru
Assalamualaikum,
Saya sudah keluar dari IJN dan pulang ke rumah. Selama ditahan di CCU IJN, saya telah melalui tiga prosedur rawatan; 1) angiogram, 2) ultrasound angiogram, 3) MRI. Laporan pemeriksaan masih bawah penelitian doktor. Saya dibenarkan pulang untuk berehat dan akan melalui temujanji susulan dengan doktor di IJN. Doktor telah menasihatkan saya supaya berehat, dan saya akan bercuti beberapa hari. Pulang dari IJN dan berehat di rumah, saya sempat melayari laman web dan facebook Darussyifa’. Saya juga membaca email-email dalam google group ahli Darussyifa’. Membaca komen yang jumlahnya mencecah ratusan, saya sangat teruja dan terharu dengan ingatan, doa, dan kata-kata perangsang daripada tuan-tuan/puan-puan. Saya ucapkan jutaan terima kasih dan Allah sajalah yang layak membalasnya.
Haron Din. 4 Ogos 2011
Selepas rawatan jantung di Stanford Hospital, genap setahun yang lalu, Tuan Guru tidak memerlukan GTN spray walaupun ketika mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu setiap aktiviti yang telah dirancang diselesaikan dengan penuh tanggungjawab.
Hujung minggu setiap bulan, Tuan Guru terikat dengan kuliah serta kelas-kelas pengubatan di tiga negeri dengan jarak untuk rehat antara program yang sempit, maka ketika kelas pengubatan di Alor Setar (30 Julai 2011) Tuan Guru mula mendapat serangan-serangan yang agak kuat dan pada malamnya serangan jantung yang kuat, tidak dapat diredakan dengan GTN spray, sehinggakan habis sebotol. Dada seperti dihimpit batu, sesak nafas serta bahu kiri hingga hujung tangan kebas sepenuhnya.
Kami yang telah pulang lebih awal dari Perlis ke Bangi melalui jalan darat mendapat berita dari Perlis. Kami berusaha mengaturkan agar Tuan Guru dapat pulang dengan segera untuk rawatan di IJN, malangnya tiket penerbangan telah habis ditempah pada pagi Ahad (31-Julai-2011). Pertolongan Allah datang melalui seorang hamba Allah yang sudi memberikan tempat duduk penerbangan yang telah ditempahnya kepada Tuan Guru.
Tuan Guru dikejarkan ke Unit Kecemasan IJN. Melalui pemeriksaan dan ECG, Tuan Guru didapati mengalami serangan 'unstable angina' dan perlu dipantau berkala di CCU berserta rawatan. Sehingga ini dua kali ujian angiogram telah dijalankan (Isnin dan Selasa) dan diikuti juga ujian MRI, tetapi keputusan masih belum muktamad.
Berkat doa semua, Alhamdulillah Tuan Guru semakin pulih.
Keadaan semakin baik dengan parameter yang semakin stabil, seperti laporan Adinda Salwa, Tuan Guru sudah mula berjalan selepas tempoh edah Angiogram. Mula berselera untuk makan. Kini telah dipindahkan ke wad biasa.
Kami masih menuggu keputusan muktamad Dato'Amin dan Dato' Rob untuk perancangan seterusnya setelah keputusan MRI dibahaskan.
Jutaan Terima Kasih pada yang sudi menitipkan doa, hanya Allah yang layak membalasnya.
Dr. Huda & Dr. Azlin
Saya ada masalah suami isteri. suami ada hubungan dengan perempuan thailand semasa saya mengandung. saya belum 1 tahun berkahwin..saya mendapat anak pada 9 bulan 2 minggu selepas berkahwin.Boleh kah Tuan Guru melembutkan hati suami saya supaya dia lebih menyayangi saya dan anak..
BalasPadam