Mengenai Kami

Foto saya
Adalah sebuah Pusat Rawatan Islam yang bernaung di bawah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa’ yang berpusat di Bandar Baru Bangi, Selangor. Ianya adalah salah sebuah Cawangan Pusat Rawatan yang terdapat di dalam Negeri Selangor yang terletak di atas sebuah tanah persendirian yang diwakafkan oleh Tuan Penasihat Darussyifa’ Banting sendiri iaitu Tuan Haji Saharoni Bin Haji Jamil. Beliau adalah antara anak-anak murid terawal yang diijazahkan pengubatan Islam oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haron Din.

Selasa, 26 Julai 2011

Rabu, 20 Julai 2011

PROGRAM QIAMULLAIL & KULIAH SUBUH (NISFU SYA'BAN)

Alhamdulillah... Setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadhrat Allah Subahanhu Wata'ala...kerana dengan limpah kurnianya, kami perawat Darussyifa' Banting telah berjaya menyempurnakan Program Qiamullail & Kuliah Subuh sempena Nisfu Sya'ban (Pertengahan Bulan Sya'ban) bagi tahun 1432h. Program tersebut dibimbing oleh perawat senior (Darussyifa' Banting) dan juga salah seorang tenaga pengajar (Darussyifa' Bangi) al-Fadhil Ustaz Haji Towil Bin Haji Juraimi.

(Semua perawat tidur di Pusat Rawatan)

Majlis dimulakan tepat jam 4.00 pagi  dengan Solat Sunat Tahajjud & Solat Sunat Taubat 2 rakaat, diikuti Solat Sunat Tasbih 4 rakaat dan Solat Sunat Witir 3 rakaat. Selesai Solat Sunat Subuh, al-Fadhil Ustaz menyampaikan kuliah subuh berkaitan KELEBIHAN NISFU SYA'BAN.

Selesai Kuliah, perawat telah dijamu sarapan pagi (NASI LEMAK & KOPI 'O') yang ditaja oleh Puan Hajjah Che' Nah & Keluarga.

Ucapan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut. Semoga segala solat kita, amal ibadat kita, hidup dan mati kita di dalam redha Allah Subhanahu Wata'ala, InsyaAllah....












Rabu, 13 Julai 2011

Bolehkah tidak ditulis ayat-ayat al-Quran untuk digantungkan pada badan, sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit gangguan Makhluk Halus?

Soalan
Bolehkah tidak ditulis ayat-ayat al-Quran untuk digantungkan pada badan, untuk dijadikan penghadang dari gangguan makhluk halus atau dijadikannya sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit. Menurut kata seorang ustaz, ianya dibolehkankan, betul atau tidak?

Jawapan
Menggantungkan sesuatu di badan untuk dijadikan sebagai pengadang daripada gangguan makhluk halus atau untuk menyembuhkan penyakit, terbahagi kepada dua bahagian yang utama.
Pertamanya, menggunakan tangkal menangkal seperti menggunakan bahan seperti tulang binatang atau kayu yang dikatakan berhikmah, atau seumpamanya, ulama tidak khilfah bahawanya ia tidak harus.
Ianya adalah ditegah berdasarkan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, al-Hakim dan al-Baihaqi yang mafhum hadis itu bermaksud, "Sesungguhnya jampi mentera yang menggunakan perkataan-perkataan syirik terhadap Allah, tangkal menangkal, ilmu pengasih adalah syirik."
Hadis ini jelas menunjukkan bahawasanya tangkal yang digunakan oleh masyarakat di zaman jahiliyah, ada yang menggunakannya selepas kedatangan Islam hingga hari ini adalah termasuk dalam istilah 'tamamaaim' atau tangkal. Ini jelas haram. Wajib dijauhi. Ianya dekat kepada kesyirikan kepada Allah S.W.T ataupun ianya syirik terus.
Keduanya, adapun mengunakan ayat-ayat al-Quranul Karim, dilipat dan digantung, dijadikan seolah-olahnya tangkal di badan dengan tujuan untuk dijadikan pengadang daripada syaitan atau untuk menyembuhkan penyakit,
Dalam hal ini, ulama-ulama terdahulu hingga ke hari ini berbeza pendapat. Satu golongan mengatakan ianya tidak harus, satu lagi golongan mengatakan ianya harus.
Yang berpendapat tidak harus adalah berpandukan kepada umum hadis yang disebutkan di atas tadi. Hadis itu jelas melarang daripada menggunakan tangkal tanpa mengira bahan tersebut digunakan daripada al-Quran atau bukan dari al-Quran.
Semuanya sama sahaja, ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah kerana ada penggantungan kepada makhluk, bukan kepada Allah S.W.T.
Golongan ini berhujah dengan kaedah fekah yang terkenal disebut dengan 'sadduzzarie'ah', iaitu mencegah daripada kerosakan, khususnya kerosakan aqidah.
Kaedah ini membolehkan kita melarang, mencegah dari melakukan suatu perkara yang boleh membawa kepada haram atau syirik.
Menggunakan tangkal untuk mengelak atau mempertahankan diri daripada sesuatu yang tidak diingini, boleh membawa kepada terpesongnya penggantungan ataupun tawakal kepada Allah. Menyimpang pendirian sepatutnya bergantung harap kepada Allah S.W.T sahaja, kepada penggantungan tangkal walaupun ianya ayat-ayat al-Quran.
Perbuatan sebegitu juga membawa makna bahawa kita telah menghina al-Quran bagi maksud membawanya bersama kita ke tempat yang tidak suci seperti tandas, melakukan kerja yang bercanggah seperti maksiat, sebagainya. Perkara itu tidak wajar dilakukan, penggunaan ayat al-Quran sebagai tangkal atau disembunyikan ayat tersebut dalam perhiasan wanita (seperti loket), semuanya itu adalah haram mengikut golongan yang pertama ini. Golongan yang berpendapat seperti iini adalah sahabat Rasulullah s.a.w seperti Abdullah ibni Mas'ud, Imam Ahmad bin Hambal (salah satu riwayat daripadanya) dan lain-lain.
Golongan yang kedua, berpendapat, perbuatan sedemikian itu adalah harus, didokong Abdullah bin Amru bin al-'Ass, Abu Jaafar al Baqir dan Imam Ahmad bin Hambal (salah satu riwayat daripadanya). Mereka berpendapat ia adalah harus kerana berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, ada sahabat yang berbuat sedemikian untuk anak-anak mereka yang belum boleh menghafaz al-Quran.
Meskipun ada dua pandangan sahabat dan ulama. Satu yang mengharuskan, kedua yang tidak mengharuskan, akan tetapi perubahan zaman boleh membawa perubahan hukum, khususnya bagi kes seperti dalam soalan ini di zaman ini.
Zaman ini, akidah umat Islam sedang terancam, iman rata-rata begitu rapuh dan mudah rosak. Amat terdedah kepada kesyirikan dan kekufuran kerana zaman ini dipenuhi dengan kemaksiatan kepada Allah.
Umat hari ini kekurangan ilmu yang membawa keutuhan pegangan, kecelaruan dalam pegangan hukum sehingga banyak yang melakukan pelanggaran hukum yang disengajakan.
Zaman ini, umat Islam tidak begitu kuat bergantung kepada Allah, kerana amat terdedah kepada gejala-gejala yang mendorong mereka lebih mengutamakan kenikmatan hidup sementara, tidak mempedulikan halal haram dan lebih suka mengharap kebahagiaan kehidupan yang segera tanpa memikir kebahagian akhirat yang sejati.
Oleh yang demikian, maka pergantunggan ummah kepada tangkal ini, jika tidak dibendung atau dicegah dengan sejelas-jelasnya akan mendorong ummah terjerumus ke pelbagai kerosakan lain.
Ayat-ayat al-Quran secara umumnya bukan untuk gantung atau dijadikan tangkal. Ianya adalah untuk diamat-amati maknanya. Difahami tuntutannya, direalisasikan hukumnya, dijadikan panduan kehidupan untuk mendapat keredhaan Allah bagi kebahagiaan dunia akhirat.
Ayat al-Quran adalah untuk dibaca an dihafal, dipohon perlindungan daripada Allah dan membentuk jati diri untuk mentaati Allah. Untuk melindungi diri dari gangguan syaitan, memang dibolehkan atau diharuskan bacaan-bacaan al-Quran. khususnya, al-muawwizaat (Surah al-Ikhlas, Surah-Falaq, Surah an-Nas), ayat Qursi dan sebagainya, boleh diamalkan untuk menjadi penghalang darpada sesuatu yang tidak diingini.

Rabu, 6 Julai 2011

Doa segala hajat

Bagaimana hendak mengatasi saka?

Soalan
Boleh Dato' jelaskan bagaimana hendak mengatasi saka?
ARBAIYAH ALANG
Ipoh, Perak


Jawapan
Mengatasi saka adalah dengan melakukan amalan-amalan yang boleh memperkukuhkan jati diri muslim agar sentiasa berpegang kepada hukum-hukum Allah, membaca ayat-ayat Allah, khususnya pada surah-surah yang sabit keberkesanannya, di baca malam-malam hari di rumah. Seperti mengamalkan Surah al-Baqarah, Suratul Jin, Surah al-Fussilat, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, Surah an-Nass dan zikir-zikir yang ma'thurat. Zikir-zikir ini boleh di dapati dalam berbagai versi percetakan.
Yang pentingnya hati kita mesti sentiasa mengingati Allah. Sama ada zikir dengan lidah, hati atau dengan akal yang sentiasa memikirkan kebesaran Allah S.W.T, semuanya boleh digunakan sebagai cara-cara untuk mengatasi saka.

Isnin, 4 Julai 2011

Betulkah atau tidak seorang yang mengamalkan sihir, dihalalkan darahnya, boleh dibunuh bila-bila masa setelah sabit ianya ahli sihir?

Soalan
Dato', betulkah atau tidak seorang yang mengamalkan sihir, dihalalkan darahnya, boleh dibunuh bila-bila masa setelah sabit ianya ahli sihir? Paling penting, ingin saya tahu bagaimana hendak membuktikan seorang itu ahli sihir?
RAZALI ABDULLAH
Johor Bharu

Jawapan
Perbuatan sihir adalah termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan. Yang paling atas sekali ialah syirik dengan Allah SWT. Sihir dilarang dalam Islam dengan larangan sekeras-kerasya.
Apabila sihir menjadi suatu kesalahan besar, maka Islam telah meletakkan hukuman yang agak keras selaras dengan kejahatan yang dilakukan.
Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut (mafhumnya) "Seseorang yang didapati dia mengamalkan sihir hendaklah dihukum bunuh."
Ini bukan bermakna bahawa siapa sahaja yang dikenali sebagai ahli sihir ataupun diketahui dia mengamalkan sihir atau dia mengaku sebagai ahli sihir, terus dihalalkan darahnya atau dibenarkan mana-mana orang membunuhnya. Ia bukan begitu.
Ahli sihir perlu ada tangkapan, perbicaraan, pensabitan dan hingga kepada peringkat kepada tidak ada keraguan memang dia melakukan amalan, maka barulah dia diminta berhenti dan bertaubat nasuha.
Jika dia enggan, maka ia dihukum bunuh oleh mahkamah yang berautoriti. Ada pandangan kedua di kalangan ulama yang mengatakan, jika sabit seorang itu ahli sihir, maka dia terus dibunuh sama ada bertaubat atau tidak.
Apa pun pandangan ulama, orang yang mengamalkan sihir tetap melakukan kesalahan yang amat besar dan melibatkan rosak akidah, menyebabkan orang yang disihir mengalami malapetakan dan kesensaraan yang berpanjangan.
Oleh kerana itu, ahli sihir dihalalkan darahnya, boleh dibunuh, bukan pada bila-bila masa, tetapi setelah memenuhi segala kehendak penghakiman yang wajar dilakukan.
Untuk membuktikan seseorang itu ahli sihir, saya ingin merujuk kepada suatu peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Hisham bin Abdul Malik, suatu ketika khalifah berinteraksi dengan masyarakat dengam pergi melihat perniagaan di pasar-pasar.
Khalifah Hisham mendapati orang ramai berkumpul di suatu tempat. Berbodong-bodong orang mengerumuni barangan yang hendak dijual kepada masyarakat dengan didahului dengan pertunjukan sihir.
Khalifah sendiri yang melihat ahli sihir yang menunjukkan kebolehannya, dengan memasukkan dirinya (ahli sihir) itu ke dalam keldai dari arah mulut. Lalu hilang ia dari pandangan orang, yang tinggal hanya keldai. Tidak lama selepas itu, ahli sihir itu dapat keluar dari arah belakang keldai dan kembali sebagai orang biasa. Orang ramai terpegun.
Lalu khalifah menangkap orang ini dan dibawa kemuka pengadilan. Didakwa melakukan sihir dengan beberapa orang saksi, maka ahli sihir itu dihukum bunuh.
Peristiwa ini menunjukkan, boleh dibuktikan seseorang itu sebagai ahli sihir, dengan melihat dia melakukan perbuatan ganjil dengan perantaraan ilmu sihir.
Boleh dibuktikan sihir dengan mencari peralatan sihir yang digunakan, sebagai contohnya masyarakat di zaman Nabi Musa a.s, ahli sihir menggunakan tali sehingga terkhayal orang ramai melihatnya jadi seperti ular. Ada juga sihir, iaitu ada orang menggunakan tali sebesar lengan, diarahkan tali naik ke udara dan dia boleh memanjat tali itu sedangkan orang tidak boleh melihat di mana tali itu bergantung.
Ada amalan sihir berlaku, di mana seorang yang boleh menyembelih anaknya sehingga putus kepala, darah bersembur kemudian dapat mencantumkan kepalanya kembali tanpa sebarang kecederaan.
Ada yang menggunakan bahan-bahan rawatan seperti tengkorak kepala yang dipuja, bahan kain kuning, kain putih, kain merah, kain hitam, benang mentah, limau, keris-keris lama, tulang-tulang manusia dan sebagainya adalah merupakan alat-alat sihir.
Jika ini dapat dibuktikan, dipegang dan dilihat itu adalah bukti seseorang itu ahli sihir.
Banyak berlaku pada zaman ini, seseorang mengaku ianya ahli sihir.
Merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya) "Orang yang membuat simpulan benang dan menjampi mentera pada benang itu, maka ia telah melakukan amalan sihir."
Banyak lagi bukti-bukti yang lain menunjukkan kepada amalan seperti itu dapat ketahui dan dibuktikan. Wallahu a'lam