Mengenai Kami

Foto saya
Adalah sebuah Pusat Rawatan Islam yang bernaung di bawah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa’ yang berpusat di Bandar Baru Bangi, Selangor. Ianya adalah salah sebuah Cawangan Pusat Rawatan yang terdapat di dalam Negeri Selangor yang terletak di atas sebuah tanah persendirian yang diwakafkan oleh Tuan Penasihat Darussyifa’ Banting sendiri iaitu Tuan Haji Saharoni Bin Haji Jamil. Beliau adalah antara anak-anak murid terawal yang diijazahkan pengubatan Islam oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haron Din.

Rabu, 13 Julai 2011

Bolehkah tidak ditulis ayat-ayat al-Quran untuk digantungkan pada badan, sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit gangguan Makhluk Halus?

Soalan
Bolehkah tidak ditulis ayat-ayat al-Quran untuk digantungkan pada badan, untuk dijadikan penghadang dari gangguan makhluk halus atau dijadikannya sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit. Menurut kata seorang ustaz, ianya dibolehkankan, betul atau tidak?

Jawapan
Menggantungkan sesuatu di badan untuk dijadikan sebagai pengadang daripada gangguan makhluk halus atau untuk menyembuhkan penyakit, terbahagi kepada dua bahagian yang utama.
Pertamanya, menggunakan tangkal menangkal seperti menggunakan bahan seperti tulang binatang atau kayu yang dikatakan berhikmah, atau seumpamanya, ulama tidak khilfah bahawanya ia tidak harus.
Ianya adalah ditegah berdasarkan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, al-Hakim dan al-Baihaqi yang mafhum hadis itu bermaksud, "Sesungguhnya jampi mentera yang menggunakan perkataan-perkataan syirik terhadap Allah, tangkal menangkal, ilmu pengasih adalah syirik."
Hadis ini jelas menunjukkan bahawasanya tangkal yang digunakan oleh masyarakat di zaman jahiliyah, ada yang menggunakannya selepas kedatangan Islam hingga hari ini adalah termasuk dalam istilah 'tamamaaim' atau tangkal. Ini jelas haram. Wajib dijauhi. Ianya dekat kepada kesyirikan kepada Allah S.W.T ataupun ianya syirik terus.
Keduanya, adapun mengunakan ayat-ayat al-Quranul Karim, dilipat dan digantung, dijadikan seolah-olahnya tangkal di badan dengan tujuan untuk dijadikan pengadang daripada syaitan atau untuk menyembuhkan penyakit,
Dalam hal ini, ulama-ulama terdahulu hingga ke hari ini berbeza pendapat. Satu golongan mengatakan ianya tidak harus, satu lagi golongan mengatakan ianya harus.
Yang berpendapat tidak harus adalah berpandukan kepada umum hadis yang disebutkan di atas tadi. Hadis itu jelas melarang daripada menggunakan tangkal tanpa mengira bahan tersebut digunakan daripada al-Quran atau bukan dari al-Quran.
Semuanya sama sahaja, ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah kerana ada penggantungan kepada makhluk, bukan kepada Allah S.W.T.
Golongan ini berhujah dengan kaedah fekah yang terkenal disebut dengan 'sadduzzarie'ah', iaitu mencegah daripada kerosakan, khususnya kerosakan aqidah.
Kaedah ini membolehkan kita melarang, mencegah dari melakukan suatu perkara yang boleh membawa kepada haram atau syirik.
Menggunakan tangkal untuk mengelak atau mempertahankan diri daripada sesuatu yang tidak diingini, boleh membawa kepada terpesongnya penggantungan ataupun tawakal kepada Allah. Menyimpang pendirian sepatutnya bergantung harap kepada Allah S.W.T sahaja, kepada penggantungan tangkal walaupun ianya ayat-ayat al-Quran.
Perbuatan sebegitu juga membawa makna bahawa kita telah menghina al-Quran bagi maksud membawanya bersama kita ke tempat yang tidak suci seperti tandas, melakukan kerja yang bercanggah seperti maksiat, sebagainya. Perkara itu tidak wajar dilakukan, penggunaan ayat al-Quran sebagai tangkal atau disembunyikan ayat tersebut dalam perhiasan wanita (seperti loket), semuanya itu adalah haram mengikut golongan yang pertama ini. Golongan yang berpendapat seperti iini adalah sahabat Rasulullah s.a.w seperti Abdullah ibni Mas'ud, Imam Ahmad bin Hambal (salah satu riwayat daripadanya) dan lain-lain.
Golongan yang kedua, berpendapat, perbuatan sedemikian itu adalah harus, didokong Abdullah bin Amru bin al-'Ass, Abu Jaafar al Baqir dan Imam Ahmad bin Hambal (salah satu riwayat daripadanya). Mereka berpendapat ia adalah harus kerana berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, ada sahabat yang berbuat sedemikian untuk anak-anak mereka yang belum boleh menghafaz al-Quran.
Meskipun ada dua pandangan sahabat dan ulama. Satu yang mengharuskan, kedua yang tidak mengharuskan, akan tetapi perubahan zaman boleh membawa perubahan hukum, khususnya bagi kes seperti dalam soalan ini di zaman ini.
Zaman ini, akidah umat Islam sedang terancam, iman rata-rata begitu rapuh dan mudah rosak. Amat terdedah kepada kesyirikan dan kekufuran kerana zaman ini dipenuhi dengan kemaksiatan kepada Allah.
Umat hari ini kekurangan ilmu yang membawa keutuhan pegangan, kecelaruan dalam pegangan hukum sehingga banyak yang melakukan pelanggaran hukum yang disengajakan.
Zaman ini, umat Islam tidak begitu kuat bergantung kepada Allah, kerana amat terdedah kepada gejala-gejala yang mendorong mereka lebih mengutamakan kenikmatan hidup sementara, tidak mempedulikan halal haram dan lebih suka mengharap kebahagiaan kehidupan yang segera tanpa memikir kebahagian akhirat yang sejati.
Oleh yang demikian, maka pergantunggan ummah kepada tangkal ini, jika tidak dibendung atau dicegah dengan sejelas-jelasnya akan mendorong ummah terjerumus ke pelbagai kerosakan lain.
Ayat-ayat al-Quran secara umumnya bukan untuk gantung atau dijadikan tangkal. Ianya adalah untuk diamat-amati maknanya. Difahami tuntutannya, direalisasikan hukumnya, dijadikan panduan kehidupan untuk mendapat keredhaan Allah bagi kebahagiaan dunia akhirat.
Ayat al-Quran adalah untuk dibaca an dihafal, dipohon perlindungan daripada Allah dan membentuk jati diri untuk mentaati Allah. Untuk melindungi diri dari gangguan syaitan, memang dibolehkan atau diharuskan bacaan-bacaan al-Quran. khususnya, al-muawwizaat (Surah al-Ikhlas, Surah-Falaq, Surah an-Nas), ayat Qursi dan sebagainya, boleh diamalkan untuk menjadi penghalang darpada sesuatu yang tidak diingini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan